Bermula syarat (nak sah) qiyam (bagi yang kuasa) iaitu membetul akan  tulang belakangnya dan jikalau dengan bersandar ia  (musolli) kepada  sesuatu atau dengan berpegang ia atasnya (sesuatu)  atau dengan dipegang  (oleh) orang  akan dia (musolli) sekalipun memadailah ia..
Dan jika tiada kuasa ia (musolli) berdiri betul maka wajib ia  (musolli) berdiri qadar sehabis-habis kuasa (seqadar mana yang mampu  dibuat)
Dan jika tiada kuasa (mampu) berdiri sekali-kali (langsung) seperti  hasil baginya (musolli) dengan dia (berdiri) masyaqqah (kesukaran) yang  sangat yang menghilang ia akan khusyu’ dan hudhur hati atau takut ia  (musolli) akan jatuh ke dalam laut atau karam (bagi mereka yang berada  diatas kapal) atau pusing (pening) kepalanya atau takut keluar  kencingnya bagi orang yang silsil baul (sentiasa keluar air kencing)   atau keluar bawasir bagi orang yang basur (orang yang sakit buasir) dan  yang umpama keduanya (silsil baul dan buasir) maka hendaklah ia  sembahyang (hal keadaannya) duduk.
Dan jika lemah ia (musolli) daripada sembahyang (hal keadaannya)  duduk maka hendaklah (wajiblah) ia berguling (mengiring) atas lambungnya  (samada kanan atau kiri tetapi yang afdhalnya diatas lambung kanan dan  sekiranya tidak mampu mengiring diatas lambung kanan maka barulah  mengiring diatas lambungnya yang kiri)  dan dijadikan mukanya (musolli)  dan hadapan badannya (musolli) kepada qiblat  dan hendaklah ia (musolli)  bangun bagi ruku’nya dan sujudnya qadar dapatnya.
Dan jika lemah ia daripada sembahyang berbaring atas lambungnya maka  hendaklah (wajiblah) ia (musolli) sembahyang bertelentang atas  belakangnya dan mendiri ia akan mukanya (muka diangkat sedikit ke arah  qiblat dengan dilapik sesuatu benda seperti bantal) dan (padahal) dua  tapak kakinya berhadap kepada qiblat maka memperbuatlah ia (musolli)  dengan ruku’nya dan sujudnya qadar kuasanya (mampunya).
Dan jika tiada (kuasa memperbuat ruku’ dan sujud) maka mengisyarat ia  (musolli) bagi keduanya (ruku’ dan sujud) dengan kepalanya.
Dan jika lemah ia (musolli) daripadanya (mengisyarat dengan kepala)  maka dengan kelopak matanya.
Dan jika lemah ia (musolli) mengisyarat dengan kelopak matanya maka  hendaklah dilakukan sekelian perbuatan sembahyang itu dengan hatinya jua  inilah sehingga-hingga (sehabis-habis)  lemahnya.
Maka tiada gugur wajib sembahyang daripadanya sekali-kali selama-lama  ada aqalnya itu maujud inilah hal sembahyang fardhu.
Rujukan: Hidayatus Sibyan karangan Abu Abdullah Hussain Nasir bin
Muhammad Taib al-Mas’udi al-Banjari
http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/09/13/syarat-qiyam-berdiri-betul/
No comments:
Post a Comment