Tuesday, October 11, 2011

Niat Sembahyang Yang Sebenar (1)

SEPATAH KATA DARI PENYUSUN
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله  وحده والصلاة والسلام على سيدنا محمد لا نبي بعده.
Ku susun risalah ini, semata-mata kerana cinta kepada ugamaku yang bersih lagi mudah untuk mengawal keselamatannya didalam perkara niat sembahyang.
Risalah ini ku namakan ((Jiwa Sembahyang)) yang mana tiap-tiap seorang yang menatapnya akan menjadi sembahyangnya berjiwa (hidup). Sekiranya seseorang Islam tidak mengerti betul didalam perkara niat sembahyang, maka sudah tentu jadilah sembahyangnya tidak berjiwa (mati) seperti satu bangkai yang tidak berharga. Ertinya jadilah sembahyangnya  tidak sah dan diterima oleh Allah S.W.T
Sebagaimana manusia ada mempunyai badan dan ruh, begitulah juga sembahyang diapun ada mempunyai badan dan ruh. Badan sembahyang iaitulah tingkah laku perbuatan waktu sembahyang. Adapun ruhnya ialah ikhlas (niat disisi kebanyakan ulama’) sebagaimana tuhan berfirman ((وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين )) dan Nabi S.A.W  bersabda (( إنما الأعمال بالنية)).
Disini mengertilah kita bahawa perkara yang mustahak dan penting  didalam Islam ialah niat iaitu satu perkara yang sehabis-habis mudah. Kalau tidak dipesong-pesongkan oleh orang yang suka memesong iaitu orang yang berdegil mengatakan niat itu mesti berhuruf (terlintas sahaja aku sembahyang fardhu zohor umpamanya) dan kalau tidak terlintas perkataan begitu, tidak sah sembahyangnya. Pihak inilah selalu mengelirukan orang ramai sehingga orang ramai buta tuli berpegang  ((bahawa perkataan aku sembahyang itulah niatnya)) dengan tidak mahu bertolak ansur lagi.
Didalam risalah ini, saya bawa sebahagian nas-nas ulama’ syafieyyah yang besar-besar yang  menerangkan niat itu satu lahzoh sahaja, supaya dengannya dapat memaham oleh orang ramai dengan jelas dan nyata, tidak lagi terkeliru – adanya

S. Abdul Rahman Solih                                                                                            1 Syawal 1873
Kelantan                                                                                                                   Bersamaan 2 Jun 1954
.
Bahagian Yang Pertama:  Menerangkan Nas-nas Ulama’ Bersabit Dengan Niat

Kata Ibn al-Rif’ah: -
Niat itu ialah menyahja  (kehendak dan sengeling) yang dikatakan menyahja itu iaitulah aradh (lintasan) yang tunggal yang tidak kekal, berlakulah niat itu dengan sekelip mata dan satu masa sahaja -Al-matlabul Ali.

Berkata Syeikh Fauzani, Imam al- Haramain dan Qufal:-
Kerana niat itu ialah sekelip mata (selintasan) sahaja- Nihayatul Matlab.

Berkata Imam al-Haramain: -
Sesungguhnya orang yang bodoh-bodoh menyangka ia bahawa niat itu ada baginya awal, tengah, dan akhir dan berlaku dalam hati beratur-beratur ini sangkaan semata-mata silap dan lupa akan hakikat niat – Nihayaul Matlab.

Berkata Ibn Hajar:-
Niat itu ialah aradh  (lintasan) yang tak menerima belah bahagi dia tidak ada awal dan tidak ada akhir – Syarah al-U’bab

Berkata Imam al-Ghazali:-
Niat itu tidak ada pada pertuturan dan tidak ada susunan huruf sama dengan hati atau lidah – al-Wasith.

Berkata I’mrani:-
Niat itu tidak hajat didatangkan dengan huruf, hanya niat itu ialah I’tiqad (pegangan hati)  yang mana boleh ada didalam sedikit juzu’ (satu huruf takbir) – al-Bayan.


Berkata Ibn Hajar dan Syeikh Qamuli:-
Niat itu tidak disyaratkan cakap hati atau lidah – Syarah al-Ubab Wa Jawahir al- Bahr.

Berkata Syeikhul Islam:-
Niat ialah menyahja sesuatu berserta  buatnya- fathul wahhab.

Berkata Syeikh Husaini:-
Telah muafakat segala fuqaha’ (ulama-ulama fiqh Syafie) bahwasa niat itu ialah menyahja sesuatu beserta buatnya – Nihayatul Ahkam.

Berkata Imam Nawawi:-
Jika seseorang sembahyang fardhu wajiblah ia menyahja buatnya dan menentunya dan qaul asoh wajib niat fardhu- al-Minhaj.

Berkata Ibn al-Rif’ah dan Imam al-Haramain:-
Maka yang dilaku dalam hati oleh orang yang berniat itu ialah makna lafaz.  Maksudnya ialah mengetahui sifat-sifat sembahyang – al-Matlab al-Ali wa Nihayah al- Matlab.

Berkata Ibn Hajar:-
Memadai niat itu dengan aku sembahyang fardhu zohor yakni dengan tujuan aku senbahyang fardhu zohor bukan dengan huruf aku sembahyang fardhu zohor – Syarah al-Ubab Mulakhassan.

ULASAN

Telah nyata dan terang daripada nas-nas ulama’ Syafieyyah yang besar-besar diatas, bahwa niat sembahyang itu tidak berhuruf dan tidak berkepanjangan, bahkan niat sembahyang itu iaitulah satu lintasan tunggal yang tidak ada awal, tidak ada tengah, tidak ada akhir dan tidak menerima bahagi.
Yang demikian hendaklah kita faham dan kita ikut sebagaimana tunjukan- tunjukan ulama’ itu, jangan kita terpesong. Fardhunya kalau kita disoal bagaimanakah aturan niat yang disuruh oleh ulama’-ulama’ itu ?? Jawabnya aturan niat yang disuruh oleh ulama itu ialah sebagaimana nas-nas dibawah ini:-

Bahagian  Yang Kedua: Nas-nas Ulama’  Bersabit Muqaranah Niat

Nas-nas Ulama’:

Aturan berniat itu, bahwa dihadirkan pada hati akan zat sembahyang serta sifat-sifatnya kemudian disengaja buat akan sembahyang itu, dan dijadi akan menyahja (sengaja) itu  serta dengan permulaan takbir dan  tidak lupa akan ingatannya sehingga sempurna takbirnya itu dan tidak memadai menghincirkan (membahagi) niat diatas takbir.
Dan memilih oleh Imam Nawawi  akan terpada dengan muqaranah urfiyyah, sekira-kira dibilangkan seseorang itu menghadirkan sembahyang.  Bersalah- salahan ulama’ perkataan  dikehendaki  dengan menghadirkan sembahyang itu. Kata setengah ulama’ iaitu ketiadaan lalaikan niat pada ketika takbir serta bersungguh mengenakan niat didalamnya. Dan kata setengah ulama’ iaitu memadai menghadirkan perbuatan sembahyang dan ta’arudh ta’yin pada satu juzu’ takbir . Kata setengah ulama’ lagi memadai menghadirkan niat itu dahulu sedikit daripada takbir sekalipun lalai akan niat didalam takbir bagaimana (sebagaimana) mazhab Hanafi , Maliki dan Hanbali. Dan makna keadaan seseorang  menghadirkan sembahyang itu ialah menghadirkan  barang yang wajib dihadirkan dia (menyahja perbuatan sembahyang serta ta’arudh, taa’yin) adapun menghadirkan zat sembahyang itu, maka tidak memadai dengan ittifaq ulama’ intaha………
Berkata Imam al-Haramain:-
Apabila ada perbuatan bersifat dengan banyak sifat maka mengetahui akan dia itu,  beratur-beratur  dan berlaku ia  pada beberapa masa menurut adat, kemudian apabila hadir ilmu-ilmu itu dan berhimpun ia dalam ingatan, berharaplah menyahja itu kepada itu ilmu dengan tidak beratur dan tidak berlambatan.

Dan berkata Ibnu al-Rif’ah :
Kadang-kadang hasil sekeliannya itu dalam hati dengan tidak terdahulu menghadirkan di atas takbir tetapi demikian itu sangat-sangat payah.

Dan berkata Imam al-Ghazali:-
Perkara muqaranah ini sangat-sangat mudah. Tetapi sebab-sebab yang menjadi payah itu ialah was-was jahil akan hakikat niat.

Dan berkata Husaini:-
Tiap-tiap perbuatan yang keluar daripada orang yang berakal yang jaga lagi dengan pilihannya tentu tidak sunyi daripada niat.  Bersalahan apabila keluar daripada orang gila, lalai, tersalah atau gagahi,  maka lagho (tidak ada niat).

TEGASAN

1) Niat sembahyang itu peraturannya yang sah ada dua macam sahaja, yang pertama muqaranah haqiqiyyah (kamaliyyah) yang kedua muqaranah u’rfiyyah.
Muqaranah haqiqiyyah itu: bahawa adalah niat satu lahzoh itu ada dalam semua huruf takbir dan
Muqaranah u’rfiyyah itu: bahawa adalah niat satu lahzoh itu ada dalam mana-mana satu huruf takbir.
Selain daripada itu tidak sah muqaronahnya melainkan dengan ditaqlidkan mazhab hanafi , maliki, hanbali atau qaul dhoif.
2)Peraturan berniat satu lahzoh itu iaitu lebih dahulu menghadirkan zat sembahyang dan sifat-sifat, kemudian menyahjakan buatnya dengan satu lahzoh.
3) Seorang berniat ((sahaja aku sembahyang fardhu zohor)) serta ada niat satu lahzoh itu sah sembahyangnya.


KHATIMAH  

Seseorang yang sembahyang, hendaklah ia membesarkan tuhannya dengan lidah dan hatinya serta tidak lupa daripada sembahyangnya sebagaimana firman tuhan
((وربك فكبر)) dan perkataan Imam Syafi’e “وينويها بعينها” intaha – al-Um  Lil as-Syafie.


RUJUKAN:
Risalah Jiwa Sembahyang oleh S. Abdul Rahman
Cetakan Majlis Agama Islam Kelantan

http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/08/13/niat-sembahyang-yang-sebenar-1/

No comments:

Post a Comment