Thursday, October 6, 2011

Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan

Ketahuilah, bahawasanya setengah-setengah para salaf, ada yang suka beruzlah atau memencilkan diri dari orang ramai (menyendiri), kerana di dalam uzlah itu terdapat berbagai faedah; seperti senang beribadat tanpa gangguan atau melapangkan diri untuk berfikir-fikir ataupun menumpukan perhatian kepada pendidikan ilmu pengetahuan.
Selain itu dengan uzlah dapat menjauhkan diri dari melakukan larangan-larangan Allah yang biasanya dilakukan oleh orang ramai disebabkan pergaulan seperti riya’, mengumpat meninggalkan perintah membuat kebajikan dan menjauhi dari melakukan kemungkaran, meniru-niru tabiat dan akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan yang jelek dari kawan-kawan yang jahat atau seumpamanya.
Sementara para salaf yang lain menggalakkan pergaulan dengan orang ramai dan mencari seberapa banyak kenalan dan kawan untuk menempa perpaduan dan kasih sayang antara kaum Mu’minin. Kemudian bertolong-tolongan antara satu dengan yang lain dalam urusan-urusan agama, yakni untuk menegakkan kebaktian dan ketaqwaan kepada Zat Allah yang Maha Agung Subhanahu wa Ta’ala.
Hanya dengan jalan bercampur gaul sajalah segala faedah uzlah atau memecilkan diri dapat terhasil; iaitu dengan tekad bersungguh-sungguh serta mengalahkan hawa nafsu. Pendek kata percampur gaulan itu mempunyai banyak faedah yang besar mengatasi faedah-faedah memencilkan diri.
Mungkin anda akan bertanya; Apakah dia faedah-faedah bercampur gaul itu, dan apakah pula pendorong-pendorong yang menyebabkan kita wajib bercampur gaul?
Faedahnya ialah: Memberi pengajaran kepada orang lain atau mengambil pelajaran daripadanya. Melakukan sesuatu pekerjaan yang bermanfaat kepada orang lain, atau mengambil manfaat dari sesuatu pekerjaan yang dilakukan orang. Mendidik atau menerima didikan. Menempa hiburan atau menghiburkan. Mendapat pahala kerana menunaikan sesuatu hak yang wajib.
Selain itu dapat mempraktikkan diri supaya bertawadhu’ dan mendapatkan faedah dari berbagai-bagai pengalaman orang lain, serta mengambil i’tibar dari contoh tauladan.

Faedah-faedah bercampur gaul

Terdapat banyak faedah dari bercampul gaul. Berikut disenaraikan faedah-faedah bercampur gaul:
1.      Memberi pengajaran atau menerima pelajaran
2.      Memberi manfaat dan mengambil manfaat.
3.      Mendapatkan pengalaman dan contoh tauladan
4.      Pendidikan
5.      Penghiburan
6.      Mencari Pahala
7.      Menyebabkan orang lain mendapat pahala
8.      Merendah diri.
9.      Mendapatkan pengalaman dan contoh tauladan
Huraian secara terperinci setiap satunya, agar manfaatnya tinggal berkesan di dalam diri, akan disusuli dalam paparan-paparan seterusnya.

Faedah pergaulan – memberi pengajaran atau menerima pelajaran

Kedua-duanya, memberi pengajaran atau menerima pelajaran, terkira antara sebesar-besar ibadat yang boleh dilakukan oleh seseorang di dalam dunia ini. Yang demikian itu tidak akan tercapai, melainkan menerusi bercampur gaul.
Orang yang sangat berhajat kepada pengetahuan dan menuntut pelajaran ilmu agama yang wajib adalah dosa kepada Allah, kiranya ia memencilkan diri dan beruzlah.
Orang yang mempunyai bakat dan mampu ke depan untuk mempelajari ilmu pengetahuan syariat dan ilmu pemikiran, baginya memencilkan diri sebelum mempelajari ilmu-ilmu tersebut adalah suatu kerugian yang besar. Sebab itulah Nakha’i dan orang-orang yang seumpamanya berkata: Lengkapkanlah dirimu dengan ilmu pengetahuan terlebih dahulu, kemudian baru pencilkan diri atau duduk beruzlah.
Seseorang yang memencilkan diri sebelum menerima ilmu pengetahuan terlebih dulu, adalah orang yang mensia-siakan masanya dengan banyak tidur atau memikirkan sesuatu yang tidak berfaedah.
Paling banyak ia menghabiskan masanya dengan membaca berbagai-bagai wirid dan mengulangi-ulanginya, padahal amalan-amalan yang dilakukan menerusi badan dan hati itu, tiada terjamin akan terlepas dari kemegahan dan kebanggaan diri.
Cara serupa ini selalunya menjadi tertawaan syaitan belaka, sedangkan ia mengganggap dirinya orang yang banyak beribadat. Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan itulah yang menjadi puncanya agama, dan tidak ada gunanya beruzlah atau memencilkan diri bagi orang umum yang jahil dan bodoh.
Adapun tentang pengajaran dan menaburkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai, maka pekerjaan ini memang besar pahalanya, apabila niat si pengajar dan si pelajar itu bersih dan jujur.

Faedah pergaulan – Memberi manfaat dan mengambil manfaat


Mengambil manfaat dapat dihasilkan menerusi usaha dan bermu’amalah, dan yang demikian itu tidak boleh berlaku melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai.
Oleh kerana itu orang yang suka berusaha sendirian, lalu suka pula bersedekah dari amal usahanya, maka ia adalah lebih utama daripada orang yang suka memencilkan diri dengan banyak melakukan amal ibadat saja.
Adapun memberikan manfaat pula, ialah dengan membuat sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain, sama ada dengan membelanjakan wang ringgit mahupun dengan memeras tenaga sendiri; umpamanya menolong orang lain dalam segala keperluannya, semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala.
Menyediakan diri untuk menunaikan hajat-hajat kaum Muslimin ada pahalanya dan yang demikian itu tidak akan terlaksana melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai.
Orang yang mampu menjalankan kerja-kerja serupa ini dengan menjaga batasan-batasan, adalah lebih diutamakan daripada orang yang hanya memencilkan dirinya kerana sesuatu pekerjaan yang tak berfaedah.

Faedah pergaulan – Pendidikan


Adapun mendidik orang lain dengan berbagai-bagai nasihat ataupun mengambil pelajaran-pelajaran pendidikan bagi dirinya sendiri; iaitu dengan melatih diri untuk menanggung segala perlakuan yang kasar dari orang ramai dan sabar menahan penganiayaannya.
Tujuan utama dari perilaku ii, ialaha untuk mematahkan kebesaran diri dan menghindarkan kemahuan hawa nafsu. Faedah-faedah serupa ini boleh diperoleh, hanya dengan bercampur gaul dengan orang ramai.

Faedah pergaulan – Penghiburan


Menghibur diri atau menghiburkan orang memang amat digalakkan dalam urusan agama, iaitu bagi orang yang benar-benara merasa terhibur, bila melihat hal-ehwalnya atau ucapannya dalam urusan agama, dan ada kalanya berkaitan juga dengan kepentingan diri.
Penghiburan juga kadang-kadang menjadi sunnat, kalau tujuannya ialah untuk melapangkan hati, agar sesudah itu akan timbullah sebab-sebab yang bakal mencergaskan diri semula dalam melakukan ibadat, sebab hati itu apabila terlalu sedih atau risau, nescaya ia akan menjadi buta.
Jiwa manusia itu tidak selamanya dapat dipaksa membuat yang hak semata-mata, selagi tidak diberi kelapanganuntuk dihiburkan dan dalam memaksanya menunaikan kewajiban-kewajibannya terus-menerus akan menimbulkan rasa bosan dan perasaan meleset.
Ibnu Abbas telah berkata: Andaikata tidak kerana takutkan perasaan was-was timbul dalam diri saya, nescaya saya tidak akan mengajak orang ramai duduk bersenang-lenang.
Nyatalah seorang yang memencilkan dirinya itu, tidak boleh tidak mestilah berkehendakkan seorang teman yang dapat diajak bertemu dan berbual dalam sehari semalam, walaupun sebentar saja.
Oleh itu hendaklah ia berusaha mencari seorang teman yang sesuai dan mengerti kehendaknya. Jangan sampai masa sebentar bersenang-lenang dengan teman itu, kelak akan merosakkan pula segala masanya yang lain, yang dihabiskan dalam memencilkan diri atau beruzlah itu.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Seseorang itu menurut perjalanan temannya, maka hendaklah seseorang mahu memerhatikan siapa yang patut diajak berkawan.”
Dalam pertemuan dengan kawan itu nanti, biarlah semua perbicaraannya berkisar di sekitar urusan-urusan agama, dan perkara-perkara yang dapat menetapkan hati atas yang hak dan kebenaran.
Dalan perbicaraannya serupa itu, jiwanya akan merasa lega dan senang. Itulah satu-satunya cara yang paling baik untuk melapangkan hati, bagi seorang yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan peribadi

Faedah pergaulan – Mencari Pahala

Adapun untuk mencari pahala dari sesuatu amalan, maka ini dapat dilakukan dengan sentiasa menghadiri jenazah-jenazah, melawat pesakit-peasakit ataupun hadir bersembahyang jemaah pada semua shalat, sebab tidak ada kelonggaran untuk meninggalkan jamaah, kecuali kerana khuatir sesuatu bahaya yang nyata akan menimpannya yang bila diimbangkan dengan bahaya terluputnya keutamaan sembahyang berjemaah sama beratnya, ataupun lebih sedikit dan perkara serupa itu tentulah jarang sekali terjadinya.
Begitu pula, untuk mendapatkan pahala, ialah dengan menghadiri pertemuan-pertemuan yang baik, undangan-undangan, kerana yang demikian itu boleh menimbulkan kegembiraan dalam hal seseorang Muslim.

Faedah pergaulan – Menyebabkan orang lain mendapat pahala

Untuk melakukan sesuatu agar orang lain boleh memperoleh pahala, ialah dengan membenarkan orang melawatnya ketika ia sakit, atau menyampaikan kepadanya ta’ziah bila berlaku kematian dalam keluarganya, atau mengucap tahniah atas kenikmatan-keniknatan yang baru dicapainya. Cara macam ini akan mendatangkan pahala kepada orang-orang yang melakukannya.
Bagi dirinya, hendaklah ia mempertimbangkan segala pahala-pahala yang akan diperolehi disebabkan percampur gaulan ini dengan bahaya-bahaya yang kami sebutkan satu persatu di atas. Ketika itu akan jelaslah persoalannya.
Mungkin sekali baginya uzlah atau memencilkan diri itulah yang lebih diutamakan atau diberatkan. Mungkin pula bercampur gaul dengan orang ramai yang patut diikuti.

Faedah pergaulan – Merendah diri

Tawadhu’ atau merendah diri itu adalah darjat paling utama sekali bagi manusia. Ini tidak akan berlaku, selagi dia menyendiri atau duduk berjauhan dari orang ramai.
Mungkin seseorang itu lebih suka beruzlah atau memencilkan diri dikeranakan beberapa sebab misalnya:
  1. Kerana sudah terlalu tua umurnya.
  2. Kerana khuatir dirinya tidak diberikan penghormatan dalam satu-satu keramaian atau tidak dikedepankan.
  3. Kerana dia merasakan dirinya akan lebih dihormati, bila dia menjauhkan diri dari bercampur gaul dengan orang ramai.
  4. Kerana dia menganggap bahawa memencilkan diri itu akan lebih meyakinkan orang ramai dalam kerja-kerja ibadatnya atau kezuhudannya atau sebagainya.
Tanda orang-orang ini ialah mereka lebih suka diziarahi oleh orang ramai, tetapi mereka sendiri tidak suka menziarahi orang lain. Mereka merasa senang sekali, bila orang-orang umum datang untuk mendekatkan diri kepada mereka, apatah lagi kalau yang datang pula orang-orang yang berpangkat, maka hatinya akan terus berlonjak-lonjak kegembiraan.
Kalaulah kerana terlalu sibuk menguruskan diri sendiri itu yang menyebabkan mereka tidak suka bercampur gaul dan terus memencilkan diri dari orang ramai, tentulah mereka tidak ingin pula orang ramai datang menziarahi mereka. Yang sebenarnya sebab pemencilan diri dan uzlah mereka itu, adalah kerana hendak menguruskan kedatangan orang ramai kerana hati mereka terpikat oleh pandangan orang ramai terhadapnya dengan penuh penghormatan dan sanjungan.

Faedah pergaulan – Mendapatkan pengalaman dan contoh tauladan


Pengalaman-pengalaman hidup amat berfaedah bagi manusia, dan ia dapat dicapai oleh seseorang menerusi percampur gaulan dengan manusia ramai, dan mengambil tahu tentang hal-ehwal penghidupan mereka.
Menerusi akal yang dilengkapi oleh Allah Ta’ala bagi manusia saja, tidak memadai untuk memahami maslahat-maslahat agama dan dunia. Tetapi faedahnya dapat dicapai menerusi pengalaman-pengalaman dan percubaan-percubaan itu.
Misalnya seorang anak kecil jika dipencilkan dari orang ramai, tentulah ia akan dikelubungi oleh sifat bodoh dan tolol. Yang semestinya bagi anak kecil itu berusaha, untuk menuntut ilmu pengetahuan, dan dalam masa menuntut ilmu itu, ia akan memperoleh segala yang diperlukan dari berbagai pengalaman.
Kemudian pengalaman-pengalaman selainnya akan diperolehinya pula, dengan mendengar berbagai-bagai hal yang berlaku di sekitarnya. Kebodohan dan ketololan itu akan melenyapkan banyak amalan-amalan yang berfaedah, tetapi sebaliknya ilmu pengetahuan akan mengharumi amalan-amalan, meskipun sedikit saja bilangannya. Kalaulah tidak kerana demikian, manakah boleh diutamakan ilmu pengetahuan ke atas amalan-amalan.
Syariat Islam sendiri telah menentukan kelebihan seorang alim ke atas orang ‘abid yang banyak ibadatnya sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda:
“Kelebihan orang alim ke atas orang’abid, laksana kelebihanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”
Pendek  kata, bila anda faham penuh teliti segala huraian yang lalu mengenai faedah-faedah dan bahaya-bahayanya, akan menjadi senanglah bagi anda untuk menentukan mana satu yang lebih utama antara bercampur gaul dengan memencilkan diri atau uzlah. Sebenarnya yang demikian itu berbeza-beza menurut perbedaan hal dan keadaan.
SUMBER:
http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2011/06/14/kitab-uzlah-menyendiri-dan-pergaulan-kandungan/
http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/10/03/kitab-uzlah-menyendiri-dan-pergaulan/

No comments:

Post a Comment