“Sesungguhnya Kami telah menurunkan  (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat  mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam  Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun  malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala  perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).  Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”  (Al-Qadar: 1-5)Lailatul Qadar adalah  malam yang lebih baik dari seribu bulan, dikurniakan kepada umat Nabi  akhir zaman. Ia malam kasih sayang Allah yang dikurnia kepada umat ini  dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda, lantaran umur mereka di  dunia ini terlalu singkat berbanding dengan umat para Nabi a.s  terdahulu.
Lailatul Qadar adalah malam Jibril a.s  membawa Al-Quran kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam ketika  Baginda berkhalwat di Gua Hira’. Ia adalah malam cahaya bagi seluruh  alam. Kegelapan dan kesuraman alam telah berlalu, alam membuka lembaran  baru.
Cahaya Al-Quran menunjukkan jalan  kebenaran bagi pencinta kebenaran, ia memberi jawaban kepada pencari  jawaban, memberi penyelesaian bagi pencari penyelesaian, membongkar  rahsia ilmu bagi pencinta ilmu. Syed Qutub menyebut  dalam kitab fi Zilalil Quran ianya adalah  malam kemerdekaan umat manusia.
Al-Quran memberi jawaban kepada persoalan siapa aku? Dari mana aku  datang? Apa tujuan aku di sini? Dan ke mana aku pergi selepas ini?  Persoalan ini adalah suara hati semua manusia di atas muka bumi ini  yang mencintai kebenaran kehidupan. Persoalan ini juga perlu ditanya  kepada mereka yang masih tenggelam dalam keseronokan hijab-hijab nafsu  dan kekufuran.Akal manusia tiada mampu untuk  membongkar rahsia kehidupan ini. Pandangan mata, pendengaran telinga  tiada mampu melihat atau mendengar perkara yang disebaliknya. Mata  manusia melihat jasad terbujur kaku (mayat), tetapi mata tiada mampu  melihat apa yang berlaku disebalik jasad yang terbujur itu. Telinga  mendengar deruan ombak, desiran angin, nyanyian sang burung, deruman  guruh dan petir, namun mereka tiada mampu mendengar tasbih-tasbih  makhluk Allah itu.
Kelupaan manusia menyebabkan mereka itu  bernama ‘insan’. Mereka lupa asal dan perjanjian mereka di alam ruh.  Lupa adalah hijab yang paling utama, fitrah ketuhanan dan kehambaan  tertutup apabila tiada dibuka dengan peringatan.
Al-Quran datang memberi peringatan  kepada yang lupa. Apabila mereka ingat asal mereka, maka Al-Quran  membimbing pula rohani mereka mikraj ke alam perjanjian (alam asal  mereka) dengan akidah, ibadah, mujahadah, adab dan syariat. Akan terbuka  kembali segala yang tertutup, sebagaimana firman Allah :
“(Serta dikatakan kepadanya):  “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai  tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian yang  menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat  menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat).”  (Qaaf: 22)
Kalimah “Tidak menyentuh  Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan” dalam surah Al-Waqiah  ayat 79 menjadi perbahasan mazhab dalam masalah fekah tentang hukum  menyentuh Al-Quran. Ada ulama mentafsirkan yang dimaksudkan suci itu  ialah seorang mukmin, ada yang mengatakan mukmin yang dalam keadaan  suci, ada yang memberi maksud ialah malaikat yang membawa Al-Quran.
Ulama Tasawwuf mentafsirkan bahawa “tiada  yang memahami (menyentuh) Al-Quran melainkan mereka yang memiliki hati  yang suci”. Jika seorang itu tiada memiliki hati yang  bersih, segala bacaannya hanyalah di halkum, mereka tiada boleh  memahaminya sehingga tiada meningkat iman mereka dengan bacaan tersebut.
Inilah yang disabda Nabi sallaLlahu  ‘alaihi wassalam bahawa ada golongan yang membaca Al-Quran tapi hanyalah  di halkum sahaja, sama ada mereka di kalangan orang  awam, qari atau hafiz sekalipun. Justeru itu mereka yang mahu membaca  Al-Quran memelihara adab-adabnya agar jiwa mereka tunduk dan dapat  tadabbur dengan setiap ayat yang dibacanya, sehingga gementar hatinya.
Ramai Orientalis Barat yang mengkaji  Al-Quran dapat melihat kebenaran dan kehebatannya, namun ramai yang  tiada beriman lantaran jiwa mereka mempunyai penyakit angkuh dan dengki. Ada juga di kalangan mereka yang memeluk Islam  disebabkan jiwa mereka tunduk dengan kebenaran dan ikhlas mencari  kebenaran.
Jiwa yang hidup memainkan peranan  penting dalam memahami Al-Quran. Para ulama Tasawwuf memulakan tarbiyah  dengan zikir dan mujahadah untuk menghidupkan jiwa agar mereka dapat  dzauk dan menghayati Al-Quran. Mereka akan melayang dengan kesedaran  jiwa mengikut ayat yang dibaca. Jika ayat menceritakan Akhirat, jiwa  mereka seolah tembus melihatnya, begitu juga yang mengisahkan syurga dan  neraka, jiwa mereka seolah berada di sana.
Para sahabat r.a. kerap mengalami  dzauk yang hebat apabila membaca atau mendengar ayat-ayat Allah  sehingga membawa mereka fana’ berhari-hari. Ada yang pengsan  malah ada yang meninggal dunia di belakang Nabi sallaLlahu ‘alaihi  wassalam lantaran tiada tertahan jiwa mereka dengan lantunan keindahan  ayat-ayat Al-Quran.
Para pencinta Al-Quran bukan sekadar  jiwa mereka hidup dalam lautan rohani, tetapi membawa kepada keberanian,  kekuatan, jati diri dan kecerdasan akal serta emosi yang tinggi  sehingga mereka memiliki hikmah yang mengkagumkan.
Para pemegang Al-Quran adalah golongan  yang sebaiknya menjadi pemimpin dunia kerana dalam jiwa, akal dan emosi  mereka memancar di langit, di tangan mereka ada kitab yang memiliki  penyelesaian kepada segala masalah kehidupan dunia.
Malam Lailatul Qadar bukan sahaja malam kita memperbanyakkan taubat, ibadah dan munajat, tapi malam kita memperbanyakkan syukur dan menghidupkan cinta lantaran ia malam bermulanya perhubungan cinta Allah kepada makhluk bernama manusia. Ia adalah malam bermulanya perhubungan tarbiyah langit (Allah) dan bumi (manusia) melalui insan yang bernama Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam, malam yang memperkenalkan diriNya (Allah) sebagai Rabb dan manusia adalah ciptaanNya dari setitis air yang hina dan malam yang memperkenalkan Muhammad kekasihNya, semulia-mulia makhlukNya, sebagai pembawa kerahmatan sekelian alam.
Ia adalah malam kebebasan manusia dari  penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, daripada  kejahilan kepada alim, daripada nafsu kepada suci, daripada kufur kepada  iman. Bermula malam tersebut maka Allah mengajar manusia satu persatu  bagaimana mahu mengatur kehidupannya sebagai manusia dalam akidah,  ibadah, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik, sosial, kehakiman dan  lainnya.
Marilah kita di akhir Ramadhan  meningkatkan jiwa KEHAMBAAN, KESYUKURAN dan CINTA  sehingga hanyut kita dalam lautan keasyikan dengan Rabb. Berkhalwah  atau iktikaflah di masjid-masjid mencari Lailatul Qadar agar kehidupan  yang pendek ini diselubungi cahaya amal yang melimpah.
Jadilah diri kita golongan yang  berebut-rebut mencari cahaya cinta Lailatul Qadar yang di dalamnya  terkandung bisikan cinta ALLAH, RASUL dan para MALAIKAT . Marilah kita  mendambakan cinta Allah dan Rasul dengan memperbanyakkan taubat yang  benar, selawat yang penuh kerinduan dan cinta, zikir yang merubah jiwa,  munajat dengan air mata kefakiran memohon keselamatan pada diri,  keluarga dan ummah, solat yang khusyu dan tafakur yang tenggelam dalam  sifat Kebesaran Allah.
Semoga fajar pagi Lailatul Qadar akan  terus bersinar membawa perubahan pada diri para pencintanya dan  terpancar pula kepada seluruh ummah.
sumber:http://www.zawiyahsam.com/?p=1291
No comments:
Post a Comment