Pengenalan Ilmu Tauhid
  					 						Bab  1 : Memahami Konsep Tauhid
Pengertian Tauhid
Mengesakan Allah , tuhan yang tiada sekutu bagiNya, yang bersifat  dengan segala sifat kesempurnaan, kesucian, kebesaran dan keadilan .
Pengertian Iman
Keyakinan yang kukuh dengan hati, mengakui dengan lidah dan  melaksanakan dengan anggota.
Rukun Iman dan Pengertiannya
Rukun
 |   Sifat Allah  |  
 |   Wajib  |    Mustahil  |    Harus  |  
 |   20  |    Lawan sifat 20  |    1  |  
 
 |   Malaikat yang wajib dipercayai secara tafsili  |  
 | Jibril |  Menyampaikan wahyu |  
 | Mikail |  Membawa rezeki |  
 | Israfil |  Meniup sangkakala |  
 | ‘Izrail |  Mencabut nyawa |  
 | Munkar |  Menyoal mayat di dalam kubur |  
 | Nakir |  Menyoal mayat di dalam kubur |  
 | Raqib |  Mencatit amalan kebajikan |  
 | Atid |  Mencatit amalan kejahatan |  
 | Malik |  Menjaga pintu neraka |  
 | Ridwan |  Menjaga pintu syurga |  
 
 |   Kitab Samawi  |  
 |   Al-Quran  |    Injil  |    Zabur  |    Taurat  |  
 |   Muhammad  |    Bahasa Arab  |    Isa  |    Bahasa Siryani  |    Daud  |    Bahasa Qibti  |    Musa  |    Bahasa Ibrani  |  
  
 |   
 |   
 |   
 |   
 |   
 |   
 |   
 |  
 
 | 1. Adam |  2. Idris |  3. Nuh |  4. Hud |  5. Saleh |  
 | 6. Ibrahim |  7. Luth |  8. Ishak |  9. Ismail |  10. Ya’qub |  
 | 11. Yusuf |  12. Ayub |  13. Syu’aib |  14. Harun |  15. Musa |  
 | 16. Ilyasa’ |  17. Zulkifli |  18. Daud |  19. Sulaiman |  20. Ilyas |  
 | 21. Yunus |  22. Zakaria |  23. Yahya |  24. Isa |  25. Muhammad S.A.W. |  
 
- Percaya kepada Hari Akhirat
 
- Percaya kepada Qadha’ dan Qadar
 
- Erti Qadha’ adalah perlaksanaan setiap satu perkara
 
- Erti Qadar pula adalah ketentuan setiap satu perkara
 
- Oleh itu percaya kepada Qadha’ dan Qadar adalah setiap perkara yang  terjadi itu adalah kehendak dan ketentuan Allah
 
Bab  2 : Permulaan Ilmu Tauhid
Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid
Perkataan ‘ Mabadi ‘ itu bahasa Arab jama’ daripada perkataan mabda’  Bererti : Punca , mula terbit . Maksudnya keterangan yang ringkas atau  tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga  Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :
1) Nama ilmu ini : 
Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu ‘Aqaid,  Ilmu sifat dan Al-Iman.
2) Tempat ambilannya : 
Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.
3) Kandungannya : 
Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan,  kepercayaan kepada Allahdan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa  simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya  diperolehi I’ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan  menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan  tersebut.
4) Tempat bahasannya ( Maudhu’nya )kepada empat tempat :
Pertama : Pada zat Allah Ta’ala dari segi sifat-sifat yang wajib  bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.
Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib  bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.
Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh  yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.
Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang  didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib  contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari  Qiamat.
5) Faedah Ilmu Tauhid : 
Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat  kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.
6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :
Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling  utama sekali.
7) Yang menghantarkan : 
Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang  yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta’ala ialah nabi Adam  a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.
8 ) Hukumnya :
Iaitu fardhu A’in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan  mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan  dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil  ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .
9) Kelebihannya :
Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang  lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih  afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal  daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya  padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk  selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya.” ( Riwayat  Hakim )
10) Kesudahan ilmu ini : 
Iaitu dapat membezakan di antara ‘aqaid dan kepercayaan yang sah dengan  yang batil.
Bab  3 : Hukum ‘Aqal
Sesungguhnya setiap orang yang hendak mengenal Allah s.w.t. dan  mengetahui sifat-sifatnya , maka wajiblah lebih dahulu ia mengetahui  akan hukum ‘aqal dan bahagiannya.
Pengertian Hukum ‘Aqal :
Hukum ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain  atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak  berkehendak kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu ( Adat )  dan tidak tergantung kepada sesuatu perbuatan yang diperbuat oleh  mukallaf ( bersalahan dengan hukum Syari’e ).
Pengertian ‘Aqal :
Adalah ‘Aqal itu satu sifat yang dijadikan Allah s.w.t. pada manusia  sehingga dengan itu manusia berbeza dengan haiwan. Maka dengannya boleh  menerima ilmu Nazhariyyah ( Ilmu yang berkehendakkan berfikir ) dan  boleh mentadbirkan segala pekerjaan dengan fikiran yang halus dan  daripadanya tempat lahirnya berbagai-bagai manafaat dan kebahagiaan  kepada manusia.
Dan aqal itu berhajat kepada undang-undang Syarak dan undang-undang  Syarak juga tidak boleh berjalan mengikut yang dikehendaki melainkan  berhajat kepada ‘aqal. Dan di antara keduanya berhajat antara satu  dengan yang lain ( ‘ Aqal berhajat kepada Syarak dan Syara’ berhajat  kepada ‘Aqal ) .
Bahagian Hukum ‘Aqal :
Adalah hukum ‘aqal itu terbahagi kepada tiga :
1) Wajib ‘Aqli iaitu perkara yang  tiada diterima ‘aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada.Yang  demikian wajib bagi Allah s.w.t. bersifat qidam maka maksudnya ialah  mesti ada Allah s.w.t bersifat qidam.
2) Mustahil ‘Aqli iaitu perkara yang tidak diterima  ‘aqal akan adanya , hakikatnya mesti tiada . Yang demikian mustahil  Allah s.w.t. bersifat baharu maka maksudnya tidak sekali-kali Allah  s.w.t. itu bersifat baharu.
3) Harus ‘Aqli iaitu perkara yang diterima ‘aqal  adanya dan tiadanya, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada  seperti keadaan seseorang itu adakalanya boleh bergerak atau diam.
Bahagian Wajib ‘Aqli :
Adalah wajib ‘aqli terbahagi dua :
1) Wajib ‘aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu  itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan kenyataan  seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua .
2) Wajib ‘aqli Nazhari - Iaitu  menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran  dan bahasan serta mendatang- kan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu  seperti menghukumkan wajib adanya Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini  berserta dengan bahasan dan dalil-dalilnya.
Bahagian Mustahil ‘Aqli :
Adalah Mustahil ‘Aqli terbahagi dua :
1) Mustahil ‘Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan suatu  itu tetap tiada Berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil seperti  contoh menghukumkan tiada terima ;aqal satu itu separuh daripada tiga.
2) Mustahil ‘Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu  itu tetap tiada Dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta  mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti  menghukumkan tiada terima ‘aqal ada yang mensyirik bagi Allah s.w.t.  maka dengan itu ‘aqal menghukumkan mustahil ada syirik bagi Allah s.w.t  itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendatangkan dalil.
Bahagian Harus ‘Aqli :
Adalah Harus A’qli itu terbahagi dua :
1) Harus ‘Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu  boleh terima ada dan tiada dengan tidak berkehendakkan bahasan dan  mendatangkan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu adakalanya  ia bergerak atau diam .
2) Harus ‘Aqli Nazhari - Iaitu  menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dengan berkehendak  kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti contoh memberikan  ganjaran pahala kepada orang yang tidak beramal , maka ‘aqal  menghukumkan hal itu adalah harus melainkan dengan diadakan bahasan dan  dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Allah s.w.t. memberikan seperti  itu .
Bab  4 : Kejadian Alam
Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian  alam ini maka ia dapat petunjuk bahawa Allah s.w.t yang telah  menjadikannya.
1. Melihat sesuatu kejadian yang ada disekeliling kita seperti kerusi  atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut  tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang  mengadakannya.
Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada  dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya  tentulah Allah s.w.t yang Maha Pencipta.
2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan  perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang  berbagai bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir  kerusi atau meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya  tetapi tidak pernah lengkap dan sempurna.
Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan  ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Ta’ala. Maka kita  menyedari bahawa Allah Ta’ala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta  kejadian alam ini.
3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam cekerawala  ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang  mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya  manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal,  bertutur, mendengar dan lain-lain sifat lagi.
Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit,  bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat  dan keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para  cerdik pandai memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok  bandingnya. Maka nyatalah di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa  yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha luas dan bersifat dengan segala sifat  kesempurnaan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan.
Sesungguhnya dari Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa yang  menjadikan alam ini ialah Allah s.w.t kerana segala perbuatanNya  menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk  dapat mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa  bersifat lemah dan mempunyai segala kekurangan.
Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )
Bab  5 : Mengenal Allah S.W.T
1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf  dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan  syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.
2. Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat yang  Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di  antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz  yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran  dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya  Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.
3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua  bahagian :-
1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu  bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus  (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat  kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya  bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu  persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan  iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli  (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad  yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t  bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.
4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1) Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika  iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan  mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan  dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal  jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli Sunnah  Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.
3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus  (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak  dengan dalil maka dinamakan 
taqlid.
5. Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli  Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum  orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul  perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang  bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum  mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin  yang derhaka).
6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak  mengetahui dalil dan keterangan.
7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti  itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya  kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).
2) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang  diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka  berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan  tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau  waham(tiada putus).
8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya  atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya.  Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka  mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.
9. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid  yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana  di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.
10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat  yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.
Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )
SUMBER:
http://www.jommengaji.net/2010/12/perkara-asas-ilmu-tauhid-aswj.html
http://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/08/17/pengenalan-ilmu-tauhid/